Berita SFC Kembali Dari Tugas Kebangsaan

FirstTeam | NationalDuty | 12 SEP 2023 | FAS

Kembali Dari Tugas Kebangsaan

news-picture

Empat pemain Selangor FC Brendan Gan, Faisal Halim, Sharul Nazeem dan Quentin Cheng telah kembali ke kem latihan Gergasi Merah hari ini setelah mewakili Malaysia dalam Perlawanan Antarabangsa Tier 1 di China baru-baru ini.

Skuad Kebangsaan telah menentang dua pasukan Syria (2-2) dan China (1-1) dalam Perlawanan Anatarabangsa Tier 1. Satu jaringan dalam perlawanan berdepan China tersebut telah dijaringkan oleh penjaring terbanyak tempatan dalam saingan Liga Super 2023, Faisal Halim, yang juga merupakan pemain tonggak Selangor FC.

Menurut Faisal Halim, beliau bersyukur dapat menjaringkan gol untuk Malaysia dan akan teruskan perjuangan bersama Selangor FC dalam saingan Liga Malaysia.

“Alhamdulillah, rezeki daripada Allah, saya dapat menjaringkan gol dalam perlawanan menentang China yang saya dedikasikan untuk rakyat Malaysia. Saya amat berterima kasih atas sokongan yang diberikan oleh keluarga dan para penyokong. Walaupun berakhir dengan keputusan seri kedua-dua perlawanan, saya yakin pemain-pemain telah berikan segalanya untuk Malaysia.

“Hari ini saya dan rakan sepasukan, Brendan Gan, Sharul Nazeem dan Quentin Cheng akan meneruskan perjuangan di Liga Malaysia pula. Kami baru sahaja tiba di Malaysia pagi tadi dan demi mendapatkan persiapan yang cukup, kami akan menjalani sesi latihan bermula pada hari ini untuk perlawanan Piala Malaysia pada hari Sabtu ini,” semangat Faisal.

Minggu ini skuad Gergasi Merah akan menentang Terengganu FC pada 16 September jam 9 malam dalam saingan Piala Malaysia Suku Akhir pusingan pertama bagi meneruskan perlawanan Liga Malaysia 2023.

Selangor FC mengucapkan selamat pulang kepada pemain-pemain Kebangsaan ke kem Gergasi Merah. Semoga pasukan dapat persiapkan diri untuk meneruskan saingan Liga Super dan Piala Malaysia musim ini.

Demi Kebanggaan!

phone