Berita SFC Casio Malaysia dan Marco Corporation Bergabung sebagai Penaja Selangor FC

Partners | GChock | 20 JULY 2023 | FAS

Casio Malaysia dan Marco Corporation Bergabung sebagai Penaja Selangor FC

news-picture

Selangor, 20 Julai 2023 - Kelab Bolasepak Selangor (SFC) teruja untuk mengumumkan kolaborasi menarik dengan syarikat gergasi Jepun, Casio Malaysia Sdn. Bhd. dan pengedar sahnya di Malaysia, Marco Corporation (M) Sdn. Bhd. Kerjasama yang dipersetujui hari ini, mengukuhkan penajaan mereka untuk musim 2023 dan 2024.

Sebagai sebahagian daripada perjanjian ini, Casio Malaysia dan Marco Corporation akan menyumbang sejumlah wang tunai bersama-sama dengan penajaan produk, untuk menyokong SFC dalam mengharungi kempen Liga Malaysia 2023 yang sedang berlangsung dan musim 2024 akan datang. Sebagai pengiktirafan terhadap kerjasama ini, SFC dengan berbesar hati akan memaparkan logo G-SHOCK di stadium serta pada semua platform media sosial pada hari perlawanan, sebagai penjenamaan kepada penaja.

Hirofumi Ino, Pengarah Urusan Casio Malaysia Sdn. Bhd., menyatakan pendapat beliau mengenai kerjasama ini, "Melalui kerjasama dengan Kelab Bola Sepak Selangor ini, Casio Malaysia sangat teruja untuk menggabungkan ketepatan teknologi Casio dengan semangat bola sepak, mencipta formula kemenangan untuk peminat dan meningkatkan sukan ini ke tahap lebih tinggi".

Dr. Johan Kamal Hamidon, Ketua Pegawai Eksekutif Kelab Bola Sepak Selangor, turut melahirkan rasa gembira beliau atas kerjasama ini dengan berkata, "Pepatah Melayu ada menyebut, 'kecil tapak tangan, nyiru kami tadahkan', tanpa mengira pemberian itu, kami akan menerimanya dengan hati yang penuh kesyukuran. Seperti yang selalu saya nyatakan sebelum ini, kami di SFC sentiasa membuka pintu dan peluang untuk mana-mana syarikat, untuk menjadi sebahagian daripada keluarga kami. Perkongsian dengan jenama terkenal di peringkat antarabangsa seperti Casio adalah bukti usaha kelab di bawah kepimpinan DYTM Raja Muda Selangor sejak 2019," kata Dr. Johan.

Beliau seterusnya menambah, "Matlamat kami adalah untuk memberikan pendedahan maksimum kepada penaja dan rakan kongsi kami, memupuk hubungan yang kukuh dengan penyokong Gergasi Merah sambil meningkatkan nilai komersial untuk kedua-dua pihak."

SFC merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Casio Malaysia dan Marco Corporation atas kepercayaan dan komitmen mereka. Kami berharap perkongsian ini akan berkekalan untuk tahun-tahun akan datang, selain memberi manfaat kepada kedua-dua pihak dan menyumbang kepada kejayaan kolektif kami.

Demi Kebanggaan!

phone