SFC News Skuad Harimau Malaya Bakal Memulakan Kempen AFC Piala Asia 2023 Di Qatar Esok!

Women | NationalDuty | 14 JAN 2024 | FAS

Skuad Harimau Malaya Bakal Memulakan Kempen AFC Piala Asia 2023 Di Qatar Esok!

news-picture

Skuad Harimau Malaya akan membuka tirai Piala Asia 2023 Kumpulan E menentang Jordan pada hari esok, 15 Januari di Stadium Al Janoub, Al-Warkah, Qatar jam 1:30 pagi Selasa (waktu Malaysia).

Empat pemain Selangor FC, Brendan Gan, Khuzaimi Piee dan Faisal Halim mewakili Malaysia serta Noor Al-Rawabdeh mewakili negara kelahirannya, Jordan untuk beraksi di pentas Piala Asia 2023. Kedua-dua negara ini telah dicabut undi beraksi dalam Kumpulan E bersama Bahrain dan Korea Selatan.

Faisal Halim, pemain sayap, yakin dengan persediaan yang telah dilakukan, skuad Harimau Malaya di pentas Piala Asia 2023 bukan pasukan pelengkap tetapi sebuah pasukan yang akan berikan saingan yang tinggi kepada pasukan lain.

"Saya pasti semua pemain bersemangat untuk Piala Asia 2023 yang juga merupakan peluang terbesar untuk pasukan kebangsaan beraksi bukan sebagai pelengkap tetapi untuk berikan saingan yang tinggi kepada pasukan yang bertanding. Sudah pasti setiap pasukan telah buat persiapan masing-masing tetapi yang akan menentukan adalah semasa 90 minit di atas padang nanti.

"Pada saya kita tak perlu risaukan perkara yang akan datang, tetapi kita harus fokus aksi pertama menentang Jordan pada hari esok kerana perlawanan ini akan menjadi 'turning point' untuk kita. Sekiranya kita dapat rekod yang baik, semestinya akan menambah semangat pasukan untuk menghadapi perlawanan-perlawanan seterusnya," semangat Faisal semasa temubual.

Untuk pengetahuan, Malaysia berjaya berada di dalam kelompok lima naib juara kumpulan terbaik dengan enam mata terkumpul daripada kemenangan menentang Turkmenistan dan Bangladesh pada bulan Jun yang lalu sekaligus melayakkan pasukan ke pusingan akhir Piala Asia 2023 dan Pusingan 2 Kelayakan Piala Dunia 2026 / Piala Asia 2027 bersama 35 negara lain.

Selain bertemu Jordan, Malaysia akan bertemu Bahrain di Stadium Jassim Bin Hamad pada Sabtu, 20 Januari, jam 10:30 malam (waktu Malaysia) dan Republik Korea di Stadium Al Janoub pada Khamis, 25 Januari 2024, 7:30 malam (waktu Malaysia) untuk Kumpulan E.

Dua pasukan teratas setiap kumpulan iaitu 12 pasukan (Juara dan Naib Juara kumpulan A, B, C, D, E dan F) bersama empat pasukan tempat ketiga terbaik kumpulan akan layak ke Pusingan 16 Terbaik yang dijadual berlangsung pada 28, 29, 30 dan 31 Januari 2024.

Seterusnya, Suku Akhir akan berlangsung pada 2 dan 3 Februari 2024, Separuh Akhir pada 6 dan 7 Februari 2024 manakala Final pada Sabtu, 10 Februari 2024 di Stadium Lusail.

Selangor FC mendoakan kejayaan skuad Harimau Malaya di pentas Piala Asia 2023. Ayuh, harumkan nama negara!

Demi Kebanggaan!

[Kredit: Gambar oleh FA Malaysia]

phone