Berita SFC Kenali Pemain: Haiqal Haqeemi

Youth | U23 | HaiqalHaqeemi |15 JUN 2023 | FAS

Kenali Pemain: Haiqal Haqeemi

news-picture

Haiqal Haqeemi, pemain Selangor FC bawah 23(B23) tahun merupakan antara tunjang skuad Harimau Muda yang menjuarai Piala AFF bawah 19(B19) tahun musim lalu.

Pemain tengah skuad Selangor FC B23 ini mula meminati sukan bola sepak selepas dihantar ke pasukan My Kid Soccer di Wangsa Maju, Kuala Lumpur oleh ibunya di setiap hujung minggu sejak umur enam tahun sehingga beliau darjah tiga. Kemudian, beliau terpilih menyertai Akademi Tunas bermula darjah empat sehingga tamat Sekolah Rendah.

Dikenali dengan nama samaran, Cibob, kerana tubuhnya ketika itu, mula memberikan fokus sepenuhnya dalam sukan Bola Sepak selepas diserap masuk ke Akademi Mokhtar Dahari (AMD) pada tahun 2016.

Menurut pemain berusia 20 tahun ini, usaha kerasnya di AMD berhasil selepas ditawarkan ke pasukan pembangunan Selangor FC.

“Semasa saya di AMD, barisan jurulatih mahukan saya turun berat badan kerana masa itu saya boleh di katakan berbadan besar. Jadi, saya bekerja keras untuk mencapai sasaran tersebut. Sikit demi sedikit berat badan saya turun dan saya dapat beraksi dengan lebih baik.”

“Sepanjang awal perjalanan, semasa di Tingkatan 1 saya diletakan bersama Pasukan B tetapi saya tidak begitu menyerlah. Tidak seperti rakan sepasukan yang lain, saya mula diberi peluang beraksi di luar negara seperti Qatar, Jepun dan Belanda semasa saya di Tingakatan 3. Kesempatan tersebut telah membuka ruang untuk saya melonjak naik ke pasukan A di AMD dari Tingkatan 4 hingga Tingkatan 5.”

"Sebelum tamat persekolahan, saya secara rasmi telah menandatangani tawaran menyertai pasukan Presiden Selangor FC pada tahun 2021. Walaupun tidak dapat beraksi secara rasmi bersama pasukan, kerana Covid-19 melanda dunia tetapi saya bersyukur Pihak Pengurusan Selangor FC memberi peluang kepada kami untuk bersaing dalam Liga FAS sebelum tamat musim tersebut,” kata peminat Martin Odegaard ini.

Tahun 2022 menjadi tahun terbaik Haiqal, apabila dinaikkan pangkat ke skuad Selangor FC 2 setelah corak permainan yang dipamerkan semasa pemilihan telah menarik minat Ketua Jurulatih, Rusdi Suparman. Haiqal telah diberi kepercayaan beraksi dalam 15 perlawanan, 11 kali sebagai kesebelasan utama dalam 18 perlawanan Liga Premier Malaysia musim lalu.

Dalam tahun yang sama, Haiqal telah tersenarai menyertai skuad Harimau Muda untuk Kejohanan AFF B-19 2022 di Indonesia setelah beraksi dengan baik di pentas Liga Premier ketika itu. Menyifatkan ini pencapaian terbaik beliau, Haiqal telah beraksi dalam keenam-enam perlawanan serta menjaringkan dua gol menentang Cambodia di peringkat Kumpulan dan Vietnam di pusingan Separuh Akhir sebelum Malaysia menjuarai Kejohanan AFF B-19 musim lalu.

Meletakkan Ibu bapanya sebagai pendorong utama, beliau berazam, "Buat masa ini, fokus saya adalah untuk bantu skuad Selangor B23 mara ke peringkat seterusnya sehingga tamat Piala MFL 2023. Kalau rezeki saya lama di sini, seperti pemain muda yang lain, saya juga akan berusaha untuk mendapatkan peluang beraksi bersama skuad utama Gergasi Merah."

Selangor FC mendoakan kejayaan Haiqal Haqeemi bagi musim 2023 bersama skuad Selangor B23. Semoga terus mempamerkan aksi yang cemerlang dalam kancah bolasepak Malaysia serta memperoleh cita-cita yang di mahukan. Semoga berjaya, Cibob!

Demi Kebanggaan!

phone