Berita SFC Lyana Soberi Menyertai KFF Presingu

WomensFirstTeam | BerlinLeon | 24 AUG 2023 | FAS

Lyana Soberi Menyertai KFF Presingu

news-picture

Nur Lyana Soberi, pemain tonggak skuad Wanita Selangor FC musim 2023 mengucapkan selamat tinggal kepada rakan sepasukan setelah mendapat tawaran menyertai KFF Presingu di Kosovo sebagai pemain import kelab tersebut selama lapan bulan.

Dilabel seorang pemain mempunyai visi yang tinggi, Lyana mula bergiat aktif dalam kancah bola sepak Malaysia sejak 2017 menyertai Tun Sharifah Rodziah dan telah menjulang trofi kejuaraan pada tahun 2018 dan 2022 serta tempat kedua pada tahun 2017. Selain itu, beliau juga berjaya menjuarai kejohanan Selangor Women's League pada tahun ini dan telah dinobatkan sebagai Pemain Paling Bernilai saingan tersebut.

Selain itu, pemain berusia 24 tahun ini juga merupakan antara tonggak utama Kebangsaan pasukan Wanita Malaysia. Beliau mula mewakili Malaysia dalam Kejohanan AFF Wanita 2019 di Thailand dan 2022 di Filipina, Pusingan Kelayakkan Piala Asia 2021 di Palestin dan Sukan SEA 2023 di Kemboja sepanjang kariernya sebagai pemain bola sepak.

Sebelum menerima tawaran ke Kosovo, Lyana sempat beraksi 270 minit bersama skuad Wanita Selangor FC membantu pasukan berada di tempat kedua dengan lima mata terkumpul dalam saingan Liga Wanita Nasional 2023 setakat ini. Daripada tiga perlawanan, beliau berjaya membuat 4 percubaan tepat ke arah gawang, 10 sepakan percuma dan 4 sepakan penjuru.

Selangor FC mengucapkan tahniah dan selamat maju jaya kepada Lyana Soberi bersama pasukan baharu anda di Kosovo. Semoga kesempatan ini menjadi batu loncatan untuk Lyana menjadi seorang pemain yang lebih berjaya di masa akan datang serta dapat membantu memajukan pasukan Wanita Kebangsaan.

Demi Kebanggaan!

phone