Berita SFC Previu Perlawanan LS21 | Kelantan FC vs Selangor FC | Battle Of The Reds!

FirstTeam | LigaSuper2023 | 25 AUG 2023 | FAS

Previu Perlawanan LS21 | Kelantan FC vs Selangor FC | Battle Of The Reds!

news-picture

Selangor FC akan bertandang ke Kota Bharu menentang Kelantan FC bagi perlawanan Liga Super 2023 di Stadium Sultan Muhammad ke-IV hari ini pada jam 9:00 malam.

Ini merupakan pertemuan ke-100 di antara #KELSEL. Gergasi Merah telah memenangi 46 perlawanan dan 32 seri. Selain itu, 196 jaringan gol telah terhasil daripada pertemuan dua pasukan ini.

Ketua Jurulatih Selangor FC, Tan Cheng Hoe, mahu semua pemain bersedia dengan apa juga situasi perlawanan pada malam ini.

"Kita tahu tempoh hari prestasi pasukan bukanlah di tahap yang baik. Jadi, kita sudah buat persiapan yang rapi untuk menentang Kelantan FC kerana amatlah penting untuk kita mendapatkan keputusan yang terbaik daripada perlawanan ini.

"Barisan jurulatih telah membuat perancangan terbaik untuk Faisal Halim, sama ada beliau akan diturunkan sebagai pemain kesebelasan utama atau sebaliknya. Biarpun beliau tidak dapat menjalani aktiviti bersama rakan sepasukan selama sebulan tetapi beliau tetap memastikan diri beliau berada dalam keadaan yang terbaik. Barisan jurulatih juga turut membuat latihan tambahan bagi memastikan beliau bersedia jika diturunkan pada malam ini.

"Selain itu, kami juga membawa beberapa pemain dari pasukan Selangor B23 untuk memberi mereka peluang dan pendedahan di pentas lebih tinggi. Saya berharap ini dapat memberi mereka motivasi untuk bersedia dengan apa juga situasi yang akan berlaku. Jika keadaan mengizinkan, saya akan beri peluang kepada mereka untuk beraksi pada malam ini," tegas Tan Cheng Hoe.

Bagi keberadaan pemain, menurut Tan Cheng Hoe juga, “Safuwan Baharudin, Zikri khalili dan Richmond Ankrah masih dalam fasa pemulihan daripada kecederaan yang mereka alami. Selain daripada mereka, pemain-pemain lain berada di tahap yang terbaik untuk diturunkan."

Pihak pengurusan yakin Selangor FC akan bangkit semula daripada perlawanan sebelum ini dan berikan aksi cemerlang menentang Kelantan FC pada malam ini. Ayuh, Gergasi Merah!

Demi Kebanggaan!

phone