Berita SFC Reviu Perlawanan LS14 | Kelantan United FC vs Selangor FC | 7 Gol Dijaringkan di Kota Bharu!

FirstTeam | LigaSuper2023 | 08 JUN 2023 | FAS

Reviu Perlawanan LS14 | Kelantan United FC vs Selangor FC | 7 Gol Dijaringkan di Kota Bharu!

news-picture

Skuad Selangor FC berjaya membawa pulang tiga mata penuh menentang Kelantan United FC dalam perlawanan Liga Super 2023 di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu dengan keputusan 7-1 semalam.

Statistik perlawanan melihat 58% penguasaan bola, 22 percubaan, 13 percubaan tepat ke arah gawang dan 3 sepakan penjuru. Mukhairi Ajmal telah membuka jaringan awal pada minit ke-4 perlawanan, diikuti Ayron Del Valle pada minit ke-10, Faisal Halim pada minit ke-29, kemudian Ayron menjaringkan gol kedua beliau pada minit ke-45, sebelum tamat separuh masa pertama. Gol seterusnya dijaringkan oleh Yohandry Orozco pada minit ke-52, kemudian Izwan Yuslan menjaringkan gol pada minit ke-78 sebelum Ayron Del Valle menjaringkan gol hatrik serta yang terakhir untuk perlawanan ini pada minit ke-80 perlawanan.

Menurut Tan Cheng Hoe, Ketua Jurulatih Selangor FC, gembira dengan kebangkitan pasukan dan mahu pemain jadikan kemenangan ini sebagai satu motivasi untuk terus berjuang.

"Dalam saingan Liga Super, kita tidak menganggap mana-mana perlawanan mudah terutamanya bila kita gol banyak seperti perlawanan #KLUSEL kerana setiap pasukan mempunyai pemain berpengalaman tetapi yang penting adalah saingan yang diberikan. Namun, saya selalu berpesan untuk pemain fokus untuk pasukan sendiri dan bekerja keras serta konsisten untuk mencapai matlamat kita musim ini.

“Kemenangan ini memang satu kebangkitkan yang baik untuk pasukan kerana kita kalah dalam perlawanan tempoh hari. Pemain telah memberikan fokus serta menggunakan setiap peluang yang ada. Dari situ kita nampak pasukan beraksi dengan penuh keyakinan dan menunjukkan kemahuan untuk menang.

“Saya berharap kemenangan ini dijadikan motivasi untuk pasukan. Kejayaan ini adalah hasil usaha para pemain dan barisan jurulatih serta staf teknikal Selangor FC," jelas Tan Cheng Hoe.

Daripada perlawanan #KLUSEL semalam, beberapa perkara penting dapat dilihat, seperti:-

Hatrik pertama Selangor FC musim 2023

Penyerang Gergasi Merah, Ayron Del Valle telah mencatat rekod baru peribadinya untuk Selangor FC dengan jaringan hatrik pertama beliau untuk musim 2023. Jaringan 'volley' beliau pada minit ke-10 perlawanan memberi kejutan sekaligus menambah semangat penyokong Selangor FC terutamanya di Stadium Sultan Muhammad IV. Biarpun bermula dengan sedikit lambat, secara keseluruhan, Ayron telah menjaringkan 13 gol dalam 14 pertemuan dalam saingan Liga Super serta lima bantuan gol, dua daripadanya dalam saingan Piala FA.

Jaringan pertama dalam saingan Liga Super 2023

Pemain import, Yohandry Orozco serta pemain termuda skuad Selangor FC, Izwan Yuslan, 19 tahun telah menjaringkan gol pertama masing-masing untuk saingan Liga Super semalam pada minit ke-52 dan ke-78 perlawanan. Secara keseluruhan, Orozco telah menjaringkan tiga gol (1 Liga Super & 2 Piala FA) serta empat bantuan gol (3 Liga Super & 1 Piala FA).

‘Bantuan gol' #KLUSEL

Ayron Del Valle (minit 4' & 29'), Faisal Halim (minit 45' & 52') dan Quentin Cheng (minit 78' & 80') telah membuat dua bantuan gol untuk rekod peribadi masing-masing dalam perlawanan #KLUSEL beserta Yohandry Orozco (minit 10') dengan satu bantuan gol. Di sini kita boleh lihat kerjasama yang sangat baik di antara barisan depan Selangor FC.

Kelahiran 'Central Defensive Midfielder' tempatan

Harith Haiqal telah diberi kepercayaan oleh Ketua Jurulatih Selangor FC, Tan Cheng Hoe untuk menggantikan Noor Al-Rawabdeh yang terpaksa dikeluarkan daripada Kesebelasan Utama kerana mengalami demam panas pada hari perlawanan. Harith Haiqal dilihat telah menggalas tanggungjawab beliau dengan baik dalam perlawanan #KLUSEL semalam.

Tan Cheng Hoe memuji persembahan yang dipamerkan oleh Harith Haiqal semalam, "Barisan jurulatih yakin dengan Harith Haqial mampu memberikan impak kepada pasukan. Beliau beraksi dengan begitu baik dan ini bagus untuk dirinya sendiri kerana beliau telah membuktikan kebolehan bermain di posisi tengah dan pertahanan."

Pihak pengurusan bangga dengan kebangkitan yang dipamerkan oleh pasukan semalam. Semoga pasukan terus kekalkan momentum baik ini dalam perlawanan seterusnya. Ayuh, Gergasi Merah!

Tidak lupa juga, para penyokong Selangor FC yang telah 'Away Day' bersama pasukan untuk berikan sokongan penuh di Stadium Sultan Muhammad IV semalam. Terima kasih kami ucapkan.

Demi Kebanggaan!

phone