Berita SFC Reviu Perlawanan LS17 | Selangor FC 3-0 Penang FC | Peroleh Kembali Rentak Kemenangan

FirstTeam | LigaSuper2023 |16 JUL 2023 | FAS

Reviu Perlawanan LS17 | Selangor FC 3-0 Penang FC | Peroleh Kembali Rentak Kemenangan

news-picture

Selangor FC berjaya meraih tiga mata penting menentang Penang FC dalam perlawanan Liga Super 2023 di Stadium MBPJ, Kelana Jaya semalam dengan keputusan 3-0.

Noor Al-Rawabdeh, pemain tengah Selangor FC telah memastikan Red Giants mendahului perlawanan #SELPEN dengan jaringan beliau pada minit ke-28 dalam separuh masa pertama. Penyerang baharu Gergasi Merah, Boakye-Yiadom berjaya menjaringkan gol kedua perlawanan #SELPEN yang juga merupakan gol pertama beliau bersama Selangor FC pada minit ke-59. Jaringan terakhir Selangor FC telah dijaringkan penjaring gol terbanyak tempatan, Faisal Halim, yang berjaya meledak gol pada minit ke-78 sebelum wisel tamat perlawanan ditiup.

Tan Cheng Hoe, Ketua Jurulatih Selangor FC menyatakan rasa lega beliau dan berharap pasukan akan terus konsisten dengan penambahbaikan dari masa ke semasa.

“Satu pekara yang penting semalam adalah apabila beberapa kali kita mencipta peluang, kita manfaatkan peluang tersebut. Selepas mengalami satu minggu dengan keadaan tekanan yang agak tinggi, kemenangan ini menjadi motivasi terbaik untuk pasukan. Dalam masa yang sama, kita masih perlu membuat penambahbaikan dari segi corak permainan untuk perlawanan-perlawanan seterusnya.

“Barisan jurulatih juga yakin jika pemain-pemain menunjukkan satu sikap ingin memperbaiki diri mereka dan mahukan lebih baik dari perlawanan ke perlawanan, maka ia akan membantu pasukan untuk teruskan berada pada tahap konsisten yang baik,” tegas Tan Cheng Hoe.

Daripada perlawanan #SELPEN semalam, beberapa perkara penting dapat dilihat, seperti:-

Samuel Somerville pilihan Man of The Match (MOTM)

Aksi cemerlang serta keputusan akhir tanpa dibolosi pasukan lawan semalam menjadikan beliau sebagai Man of The Match.

Ketua Jurulatih, Tan Cheng Hoe memuji persembahan beliau, “Pujian harus diberikan kepada Samuel dalam separuh masa pertama kerana berjaya menyelamatkan dua gol daripada dibolosi yang sangat baik.”

Safuwan Baharudin melengkapkan jentera barisan pertahanan Selangor FC

Nama yang tidak asing dalam kem Gergasi Merah, Safuwan, beraksi dalam perlawanan pertamanya dengan cemerlang setelah rasmi menjadi pemain import terakhir Merah Kuning untuk musim ini.

Tan Cheng Hoe yakin Safuwan melengkapkan barisan pertahanan dengan kelebihan yang beliau miliki, “Safuwan mempamerkan corak perlawanan yang sangat meyakinkan walaupun ini merupakan aksi pertama beliau bersama pasukan. Kelebihan beliau dari segi ketenangan dan pengalaman yang dimiliki telah membantu bahagian pertahanan beraksi dengan cemerlang pada malam ini.”

Pengantin baru, kembali beraksi bersama pasukan

Pertahanan kiri Selangor FC, Fazly Mazlan telah diijabkabulkan pada 7 Julai yang lalu dengan pasangan pilihannya. Dedikasi yang dimiliki terhadap kariernya membuat Fazly tidak mengambil masa yang lama untuk kembali berlatih bersama pasukan. Fazly telah dimasukan di separuh masa kedua aksi #SELPEN semalam setelah berehat satu perlawanan. Beliau sentiasa menjanjikan akan menggalas tanggungjawab yang terbaik sebagai pemain untuk Selangor FC dan sebagai suami kepada pasangannya.

Pihak pengurusan ingin memberi pujian kepada semua pemain serta pegawai yang telah bekerja keras untuk mendapatkan semula momentum kemenangan Selangor FC. Terus berikan yang terbaik untuk pasukan dalam perlawanan-perlawanan akan datang.

Tidak lupa juga, para penyokong Selangor FC yang telah hadir semalam untuk berikan sokongan kepada pasukan. Terima kasih kami ucapkan.

Demi Kebanggaan!

phone