Berita SFC Reviu Perlawanan LS19 | Selangor FC 2-0 Kuala Lumpur City FC | Lembah Klang Milik Kita

FirstTeam | LigaSuper2023 | 09 AUG 2023 | FAS

Reviu Perlawanan LS19 | Selangor FC 2-0 Kuala Lumpur City FC | Lembah Klang Milik Kita

news-picture

Derbi Lembah Klang sah menjadi milik Selangor FC untuk perlawanan Liga Super ke-19 selepas meraih kemenangan 2-0 menewaskan Kuala Lumpur City semalam di Stadium MBPJ, Kelana Jaya.

Perlawanan bermula dengan asakan demi asakan daripada kedua-dua pasukan. Selangor FC berjaya menjaringkan dua jaringan gol, satu di separuh masa pertama daripada Harith Haiqal dan satu di separuh masa kedua dijaringkan oleh penyerang import Gergasi Merah, Ayron Del Valle.

Ketua Jurulatih Selangor FC, Tan Cheng Hoe, gembira melihat semangat juang yang tinggi dipamerkan oleh para pemain.

“Pemain-pemain telah menunjukkan satu semangat juang yang tinggi dalam perlawanan semalam. Dari segi pertahanan dan serangan jelas mempamerkan aksi yang baik untuk mendapatkan kemenangan ini.

“Untuk mendapatkan keserasian dan kefahaman dalam pasukan bukanlah satu perkara yang mudah. Setakat ini mereka telah menunjukkan persembahan yang baik tetapi kita tidak boleh merasa selesa, masih ada beberapa perkara mereka perlu diperbaiki bagi memperkuatkan lagi pasukan," tegas Tan Cheng Hoe.

Daripada perlawanan #SELKLC semalam, beberapa perkara penting dapat dilihat, seperti:-

Kapten pasukan dinobatkan sebagai Man of The Match (MOTM)
Mempamerkan aksi cemerlang, Brendan Gan, Kapten Selangor FC ini telah membantu pasukan di bahagian tengah dengan serangan-serangan yang bahaya serta memastikan pasukan menjalankan perancangan barisan jurulatih dengan kepimpinan tinggi yang beliau miliki.

Jaringan ke-16 Ayron Del Valle dalam saingan Liga Super
Ayron terus menambah jaringan gol bagi memastikan beliau terus kekal dalam antara senarai penjaring terbanyak saingan Liga Super. Menjadi antara pemain senior dalam pasukan, Ayron sentiasa menunjukkan persembahan terbaiknya bagi meletakan pasukan Gergasi Merah di tahap terbaik. Ini sekaligus menjadikan jaringan ke-18 beliau bersama Gergasi Merah setakat ini.

Penjaring terbanyak bahagian pertahanan
Harith Haiqal sekali lagi telah menambah jaringan gol beliau untuk dua perlawanan berturut-turut. Setakat ini beliau telah menjaring tiga jaringan gol, dua dalam saingan Liga Super dan satu di Piala Malaysia.

Tan Cheng Hoe sempat berkongsikan pendapatnya tentang pemain muda ini,

“Harith Haiqal pemain yang berpotensi tinggi untuk masa akan datang sebagai pertahanan tengah. Dia mempunyai bantuan sekeliling yang sentiasa memberi beliau semangat untuk terus bekerja keras sebagai pemain muda. Beliau juga menunjukkan keinginan meningkatkan prestasi diri sendiri,” jelas beliau.

Clean sheet ke-9 saingan Liga Super
Aksi cemerlang barisan pertahanan serta penjaga gawang Gergasi Merah semalam telah memastikan Selangor FC menang Derbi Lembah Klang dengan kemenangan tanpa bolos. Barisan pertahanan telah menidakkan serangan-serangan merbahaya pasukan lawan dan Samuel Somerville juga mempamerkan aksi yang terbaik bagi memastikan gawang tidak dibolosi.

Pihak pengurusan berpuas hati dengan semangat juang yang dipamerkan dalam perlawanan semalam. Semoga pemain terus beraksi dengan cemerlang dalam perlawanan-perlawanan seterusnya.

Demi Kebanggaan!

phone