Berita SFC Reviu Perlawanan LS23 | Selangor FC 1-0 Sabah FC | 3 Mata Yang Berharga

FirstTeam | LigaSuper2023 | 24 JUL 2023 | FAS

Reviu Perlawanan LS23 | Selangor FC 1-0 Sabah FC | 3 Mata Yang Berharga

news-picture

Selangor FC menambah tiga mata penting semalam selepas menentang Sabah FC dalam perlawanan Liga Super 2023 di Stadium MBPJ, Kelana Jaya dengan keputusan 1- 0.

Ketua Jurulatih Selangor FC, Tan Cheng Hoe, puji persembahan yang dipamerkan para pemain menentang Sabah FC semalam.

"Pertama sekali saya nak puji pemain-pemain kerana mereka telah berlawan dengan penuh semangat sehingga tamat perlawanan. Kita tahu Sabah merupakan pasukan yang kuat dari segi pertahanan dan serangan, semalam bukanlah perlawanan yang mudah. Apa yang penting adalah kita berjaya dapatkan tiga mata ini,"

"Secara keseluruhan, banyak lagi kita perlu perbaiki. Kita masih mempunyai baki lapan perlawanan. Pasukan semestinya perlu fokus dan yakin, kita perlu tambah mata sebanyak yang boleh. Paling penting, pasukan tidak boleh hilang fokus dan dapat mengawal penguasaan bola dalam lebih tersusun di masa akan datang," tegas Tan Cheng Hoe

Daripada perlawanan #SELSAB semalam, beberapa perkara penting dapat dilihat, seperti:-

Kelebihan Ayron Del Valle membantu dalam strategi serangan

Jaringan tunggal Ayron Del Valle semalam pada minit ke-23 telah menjadikan beliau sebagai Man of The Match (MOTM) perlawanan semalam #SELSAB. Jaringan tersebut telah melibatkan ketiga-tiga penyerang Faisal Halim, Boakye-Yiadom dan Faisal Halim yang pertama kali digandingkan dalam perlawanan ini.

Tan Cheng Hoe berkata "Kelebihan yang dimiliki oleh Ayron Del Valle bermain di posisi nombor 9 dan juga di bahagian sayap di kelab lama beliau sedikit sebanyak membantu barisan jurulatih untuk membuat kombinasi baharu di bahagian serangan. Ayron Del Valle di sebelah kanan, Boakye-Yiadom di tengah dan Faisal Halim di bahagian kiri. Saya berharap mereka akan dapat persefahaman yang baik beraksi bersama dalam masa terdekat," dalam sidang media semalam.

Noor Al-Rawabdeh mengawal bahagian tengah pasukan

Pemain kelahiran Jordan ini dilihat begitu dominan dalam mengawal bahagian tengah padang dengan corak permainan yang dipamerkannya. Beliau antara pemain yang sangat aktif dalam setiap serangan serta mematahkan serangan pasukan lawan semalam.

Aksi cemerlang barisan pertahanan dan Samuel Somerville

Sekali lagi pasukan Gergasi Merah meraih cleansheet dalam saingan Liga Super 2023. Sepanjang 90 minit perlawanan, penjaga gawang Red Giants, Samuel Somerville, telah beraksi dengan cemerlang dalam menidakkan gol daripada dibolosi. Barisan pertahanan, Safuwan Baharudin, Sharul Nazeem, Yazan Al-Arab, Quentin Cheng, Khuzaimi Piee an Fazly Mazlan juga telah beraksi dengan baik bagi mematahkan serangan daripada pasukan lawan.

Tan Cheng Hoe sempat kongsikan pandangan beliau tentang Safuwan Baharudin, "Kita tahu kualiti yang dimiliki oleh Safuwan, beliau sangat compose dan boleh bermain di pelbagai posisi. Beliau beraksi dengan cemerlang dalam dua perlawanan pertama beliau bersama pasukan untuk musim ini. Saya berharap beliau akan terus beraksi dengan yakin dan mengekalkan momentum baik di masa akan datang," selepas diajukan soalan tentang pemain tersebut dalam sidang media.

Pihak pengurusan gembira dengan semangat juang yang dipamerkan oleh para pemain. Masih banyak yang boleh diperbaiki untuk tampil lebih kuat dalam perlawanan-perlawanan akan datang. Teruskan dengan momentum kemenangan Red Giants!

Selangor FC juga ingin berterima kasih kepada penyokong yang hadir memenuhkan ruang di Stadium MBPJ, Kelana Jaya semalam untuk berikan sokongan kepada pasukan.

Demi Kebanggaan!

phone