Berita SFC Match Reviu LS24 | Selangor FC 4-0 Perak FC | 3 Mata Penting Sebelum Bertandang Ke Kedah

FIRST TEAM | LIGA SUPER 2023 | 26 NOV 2023 | FAS

Match Reviu LS24 | Selangor FC 4-0 Perak FC | 3 Mata Penting Sebelum Bertandang Ke Kedah

news-picture

Selangor FC meraih tiga mata penting dalam perlawanan Liga Super ke-24 menentang Perak FC semalam di Stadium MBPJ, Kelana Jaya dengan keputusan 4-0.

Sharul Nazeem membuat jaringan pembukaan pada minit ke-2 perlawanan #SELPRK hasil daripada sepakan penjuru Yohandry Orozco. Kemudian, Mukhairi Ajmal menambah gol di separuh masa pertama pada minit ke-32. Di separuh masa kedua, Yohandry Orozco menjaringkan gol pada minit ke-72 perlawanan selepas mendapat lorongan bola yang baik daripada Alexander Agyarkwa. Gol terakhir aksi #SELPRK telah dijaringkan oleh Ayron Del Valle pada minit ke-80, mengekalkan beliau kekal sebagai penjaring terbanyak saingan Liga Super setakat ini. Dalam masa yang sama, skuad Gergasi Merah berjaya menamatkan perlawanan dengan kemenangan tanpa bolos untuk aksi kali ini.

Tan Cheng Hoe, Ketua Jurulatih Gergasi Merah gembira dengan komitmen yang dipamerkan pemain Selangor FC dalam aksi #SELPRK biarpun hampir dua bulan tanpa sebarang perlawanan kompetitif.

“Secara keseluruhan, saya berpuas hati dengan perlawanan ini kerana bagi saya bukan mudah untuk menentang Perak FC dengan keadaan pasukan tidak melalui sebarang perlawanan kompetitif selama dua bulan, ia sedikit sebanyak boleh menjejaskan momentum pasukan. Walau bagaimanapun, sikap inginkan kemenangan yang dipamerkan oleh pemain sangat saya hargai. Barisan jurulatih juga gembira kerana para pemain telah berikan komitmen terbaik mereka dan mempamerkan aksi yang luar biasa pada malam ini. Kita perlu fokus untuk terus dapatkan keputusan terbaik dalam baki dua perlawanan seterusnya,” harapan Tan Cheng Hoe.

Daripada perlawanan #SELPRK semalam, beberapa perkara penting dapat dilihat, seperti:-

Yohandry Orozco kekal sebagai Man of The Match Selangor FC
Orozco telah mendapat gelaran Man of The Match untuk dua perlawanan berturut-turut (LS 23 & LS24). Beliau telah menjaringkan gol serta menambah jumlah bantuan gol dalam perlawanan #SELPRK petang semalam. Untuk rekod, Orozco telah menjaringkan 11 gol bersama Selangor FC sepanjang musim ini.

Dua jaringan awal aksi #SELPRK daripada dua pemain muda Gergasi Merah
Sharul Nazeem dan Mukhairi Ajmal masing-masing telah menambah motivasi pasukan dengan jaringan gol mereka dalam separuh masa pertama pada minit ke-2 dan ke-32 perlawanan. Mendahului dua jaringan gol dalam perlawanan ini menjadi pembakar semangat kepada pasukan untuk terus berikan yang terbaik bagi mencapai kemenangan.

Clean sheet kesembilan Gergasi Merah dalam saingan Liga Super 2023
Barisan pertahanan, Safuwan Baharudin, Sharul Nazeem, Fazly Mazlan, Quentin Cheng, Zikri Khalili dan Izwan Yuslan serta Samuel Somerville, penjaga gol, telah beraksi dengan cemerlang bagi memastikan pasukan mendapat kemenangan tanpa bolos pada petang semalam.

Pihak pengurusan ingin mengucapkan ribuan terima kasih 9,069 penyokong yang menghadiri Stadium MBPJ untuk berikan sokongan padu anda sepanjang perlawanan berlangsung. Kehadiran serta sorakan anda amat kami hargai.

Pihak pengurusan juga berharap pasukan akan terus bersedia dan kekal dengan momentum persembahan baik ini bagi memastikan kedudukan terbaik dalam saingan Liga Super 2023.

Demi Kebanggaan!

phone