Berita SFC Reviu Perlawanan PM R16-2 | Selangor FC 1-2 PDRM FC | Layak Ke Suku Akhir!

FirstTeam | PialaMalaysia2023 | 20 AUG 2023 | FAS

Reviu Perlawanan PM R16-2 | Selangor FC 1-2 PDRM FC | Layak Ke Suku Akhir!

news-picture

Selangor FC layak ke pusingan Suku Akhir Piala Malaysia 2023 dengan keputusan agregat 5-3 biarpun terpaksa akur dengan kekalahan dalam perlawanan pusingan kedua menentang PDRM FC di Stadium MBPJ, Kelana Jaya semalam.

Para pemain telah berusaha untuk mendapatkan kemenangan dengan asakan demi asakan dilakukan di depan gawang pihak lawan. Jaringan awal berpihak kepada pasukan tuan rumah hasil ledakan Yohandry Orozco selepas menerima hantaran yang baik dari Noor Al-Rawabdeh pada minit ke-25 perlawanan, namun akhirnya terpaksa akur dengan kekalahan tipis 1-2.

Menurut Tan Cheng Hoe, Ketua Jurulatih Selangor FC, kita jadikan perlawanan ini sebagai pengajaran.

“Saya rasa ini satu perlawanan yang mengecewakan. Setiap pemain kena bertanggungjawab dengan kekalahan kali ini. Saya berharap pemain sedar siapa sahaja kita berdepan, kita perlu sentiasa bersedia dari segi mental dan fizikal.

“Kalau kita lihat di separuh masa pertama, dari segi penguasaan bola, fokus dan komunikasi antara satu sama lain agak kurang baik. Walaupun kita dapat menjaringkan gol pertama tetapi kita gagal mengawal tempo permainan. Minit-minit terakhir kita agak leka, disebabkan itu PDRM FC berjaya mengambil kesempatan untuk menjaringkan gol. Ini adalah pengajaran untuk kita.

“Walau bagaimanapun, perkara yang penting adalah pasukan layak ke peringkat seterusnya. Saya akan membantu pemain untuk dapatkan semula momentum terbaik sebelum perlawanan seterusnya bermula,” harapan Tan Cheng Hoe.

Daripada perlawanan #SELPDRM semalam, perkara penting ini menjadi sorotan utama:-

Aksi konsisten Yohandry Orozco

Beliau telah mempamerkan aksi yang cukup cemerlang secara konsisten dalam beberapa perlawanan baru-baru ini. Orozoco telah menjaringkan tiga gol dalam tiga perlawanan berturut-turut. Jaringannya pada minit ke-25 semalam merupakan gol kedua beliau dalam saingan Piala Malaysia sekaligus menjadikan gol ketujuh beliau setakat ini. Klik di sini untuk baca tentang perasaan beliau dinobatkan sebagai MoTM sebelum ini.

Untuk pengetahuan, Selangor FC akan berdepan Terengganu FC di pusingan Suku Akhir Piala Malaysia 2023 yang dijadualkan pada 15 dan 23 September. Sebarang perubahan akan di maklumkan di laman sosial Selangor FC.

Pihak pengurusan ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada penyokong Red Giants yang telah bersama pasukan dalam perlawanan semalam. Tidak lupa juga laungan suara kuat Ultras Selangor yang menggemakan stadium semalam dari awal hingga tamat perlawanan.

Demi Kebanggaan!

phone