SFC News Selamanya #GergasiMerah 2023

FirstTeam | ForeverRed | 01 FEB 2024 | FAS

Selamanya #GergasiMerah 2023

news-picture

Kelab Bola Sepak Selangor (Selangor FC), hari ini dukacita mengumumkan perpisahan bersama enam pemain yang kami sangat hargai khidmat mereka sepanjang berjuang untuk kelab Gergasi Merah.

Setiap pertemuan pasti akan ada perpisahan. Pemain bersilih ganti merupakan asam garam kehidupan dalam industri bola sepak. Enam pemain yang tidak kekal bersama Selangor FC untuk musim 2024/2025 adalah Brendan Gan, Ayron Del Valle, Yazan Al-Arab, Boakye-Yiadom, Rauf Salifu dan Zahril Zabri.

Di bawah merupakan statistik pemain-pemain #ForeverRed sepanjang bersama kem Gergasi Merah:

Brendan Gan: Beraksi bersama Selangor FC sejak musim 2020, Brendan merupakan kapten pasukan yang dihormati ramai. Empat musim bersama skuad Gergasi Merah, beliau telah membuat 80 penampilan, menjaringkan 14 gol serta 12 assist untuk pasukan. Baca di sini untuk artikel penuh mengenai perjalanan Brendan Gan bersama Gergasi Merah:

Ayron Del Valle: 2023 menjadi tahun pertama dan terakhir Ayron bersama Selangor FC. Pada awalnya beliau menghadapi masalah komunikasi tetapi di atas padang bahasa tidak menjadi penghalang untuknya. Menurut Tan Cheng Hoe, Ayron seorang pemain yang sentiasa memberikan yang terbaik dalam setiap perlawanan. Beliau tidak pernah mengeluh dan sentiasa mengikut arahan barisan jurulatih biarpun mempunyai pengalaman yang luas dalam kariernya. Beliau mengambil masa untuk menyesuaikan diri dalam kancah bola sepak Malaysia, namun atas dedikasinya kepada pasukan, Ayron berjaya menjaringkan 25 gol dalam 33 perlawanan. Jaringan terakhirnya dalam saingan Liga Super 2023 menentang Kedah Darul Aman FC telah memastikan beliau menjadi Penjaring Terbanyak Liga Super 2023 sekaligus membantu pasukan kekal di kedudukan tempat kedua liga dan layak ke ACL 2 2024.

Yazan Al-Arab: Yazan, pemain pertahanan negara Jordan telah beraksi sebanyak 4,176 minit bersamaan 51 perlawanan sepanjang dua musim bersama Selangor FC. Seorang pemain yang bersemangat tinggi sebaik sahaja melangkah masuk ke padang. Untuk rekod, Yazan juga berjaya menyumbang empat jaringan gol kepada Gergasi Merah sebelum beliau diumum meninggalkan Malaysia pada bulan September yang lalu.

Boakye-Yiadom: Penyerang Ghana yang bersama Selangor FC di pertengahan musim 2023, Boakye berjaya membuat 15 penampilan di dalam kancah bola sepak Malaysia dan menjaringkan enam gol serta membuat tiga bantuan gol sebelum liga berakhir.

Rauf Salifu: Rauf merupakan seorang pemain muda yang tidak pernah menyerah kalah. Biarpun jarang mendapat minit permainan kerana saingan yang tinggi diposisinya, penyerang muda ini sentiasa bekerja keras. Antara yang paling diingati, pemain Ghana ini merupakan ‘hero’ dalam perlawanan Liga Super ke-8 menentang Kelantan FC dimana beliau menjaringkan dua gol pada minit ke-80 dan ke-90 sekaligus membantu pasukan meraih kemenangan setelah dimasukan pada babak separuh masa kedua perlawanan.

Zahril Zabri: Zahril merupakan antara pemain muda yang berjaya menyertai Selangor FC di bawah jagaan mendiang B. Satiananthan. Beliau sempat beraksi selama 82 minit bersama pasukan sebelum dipinjamkan ke Penang FC.

Selangor FC ingin menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua pemain yang telah menabur bakti sepanjang bersama pasukan Merah Kuning. Jasamu sentiasa kami kenang dan semoga berjaya bersama pasukan baharu masing-masing!

Demi Kebanggaan!

phone