SFC News Osmera Omaro Secara Rasmi Menyertai Skuad Selangor FC Wanita Sebagai Ketua Jurulatih

Women | OsmeraOmaro | 23 JAN 2024 | FAS

Osmera Omaro Secara Rasmi Menyertai Skuad Selangor FC Wanita Sebagai Ketua Jurulatih

news-picture

Selangor FC telah menandatangani Osmera Omaro sebagai Ketua Jurulatih baharu skuad wanita Gergasi Merah musim 2024. Pelantikannya merupakan antara strategi pihak pengurusan untuk mendapatkan seorang figura berpengalaman yang mampu membantu menaik taraf kualiti pasukan wanita.

Nama beliau bukanlah asing terutamanya di kalangan skuad pembanggunan Malaysia. Osmera merupakan ketua jurulatih skuad kebangsaan B17 yang berjaya mara ke Piala Asia B17 2023 setelah menjadi juara Kumpulan B dalam pusingan kelayakan pada bulan Oktober tahun lalu. Beliau juga pernah membimbing Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI) pada tahun 2015-2016 dan Akademi Mokhtar Dahari 2017-2023 sebelum kejayaannya bersama skuad B17 Kebangsaan.

Separuh daripada skuad Wanita Selangor FC musim ini dibarisi oleh pemain-pemain muda yang akan digilap bakat mereka seawal usia 14 tahun, kebanyakan mereka terpilih daripada pemilihan terbuka yang dijalankan pada bulan Disember 2023. Pengalaman yang dimiliki oleh ketua jurulatih berusia 45 tahun ini dilihat mampu membantu skuad Wanita Selangor FC melahirkan pemain-pemain berpotensi tinggi yang mampu memberi saingan di pasaran dalam negara dan antarabangsa.

Menurut ketua jurulatih skuad Wanita Selangor FC, Osmera Omaro, saya akan gunakan pengalaman yang ada untuk menaik taraf pasukan ini.

“Saya memilih untuk meneruskan karier kejurulatihan musim ini bersama skuad Wanita Selangor FC kerana pihak pengurusan meletakkan sasaran yang relevan dan mempunyai matlamat yang jelas untuk pasukan ini. Saya juga telah menerima sokongan tinggi daripada barisan jurulatih serta pegawai sejak saya melangkah kaki ke SFC Training Centre.

“Buat permulaan ini, saya sedang cuba menegaskan lagi sikap profesional yang mereka perlu ada untuk menjadi seorang pemain yang berkaliber. Ini termasuk dedikasi mengikut program yang disediakan serta peraturan-peraturan yang telah ditetapkan. Saya yakin segalanya bermula dengan perilaku seseorang untuk mereka mencapai sesuatu kejayaan. Selain itu, saya juga dalam usaha memperkemaskan corak permainan dan meningkatkan tahap pemahaman taktikal yang bakal digunakan kepada pemain-pemain,” kata Osmera semasa temubual bersama pihak Media Selangor FC.

Skuad Wanita Selangor FC akan menghadapi Women’s Super League yang dianjurkan oleh FA Selangor bagi persiapan pramusim sebelum sepak mula Liga Wanita National 2024 bermula.

Pihak pengurusan Selangor FC mengucapkan selamat datang kepada Osmera Omaro. Semoga dapat membantu squad Wanita Gergasi Merah lebih maju dari masa ke semasa.

Demi Kebanggaan.

phone