Berita SFC Pestabola Merdeka : Lima Pemain Gergasi Merah Dipanggil ke Kem Latihan Harimau Malaya

FirstTeam | NationalDuty | 03 OCT 2023 | FAS

Pestabola Merdeka : Lima Pemain Gergasi Merah Dipanggil ke Kem Latihan Harimau Malaya

news-picture

Lima pemain Selangor FC, Brendan Gan, Faisal Halim, Quentin Cheng, Sharul Nazeem dan Mukhairi Ajmal telah dipanggil ke kem latihan pusat skuad Harimau Malaya bagi membuat persediaan menghadapi Kejohanan Pestabola Merdeka edisi ke-42 di Stadium Nasional Bukit Jalil dari 13 hingga 17 Oktober ini.

Pestabola Merdeka merupakan satu kejohanan berprestij dalam kalangan negara Asia satu ketika dahulu. Edisi kali ini akan disertai oleh tiga negara yang menduduki ranking lebih baik berbanding Malaysia iaitu Palestine, Lebanon dan India dengan menggunakan format secara kalah mati.

Malaysia akan berdepan dengan negara India pada 13 Oktober ini. Jika kalah, Malaysia akan beraksi di pusingan penentuan tempat ketiga dan jika menang Malaysia akan beraksi di Perlawanan Akhir, kedua-dua perlawanan akan berlangsung pada 17 Oktober di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Mukhairi Ajmal menjadi salah seorang pemain muda dalam senarai akhir panggilan Harimau Malaya kali ini menyatakan hasratnya untuk mempamerkan aksi yang terbaik daripada pengalamannya sepanjang musim ini.

"Alhamdulillah, sekali lagi saya diberi peluang untuk bersama skuad senior Kebangsaan tahun ini. Sebagai seorang pemain, tak ada lain selain berikan yang terbaik di setiap peluang yang diberikan. Saya akan balas kepercayaan barisan jurulatih, peroleh ilmu sebanyak yang boleh serta menggunakan pengalaman yang ada untuk berikan aksi yang terbaik untuk Malaysia," menurut pemain tonggak Selangor FC, Mukhairi Ajmal.

Selain itu, Khuzaimi Piee, Haiqal Lau, Fazly Mazlan, Samuel Somerville dan Harith Haiqal berada di dalam senarai 'Bersedia' untuk kem latihan yang akan bermula pada 6 Oktober 2023 ini.

Manakala, pemain-pemain Selangor FC yang lain akan mula berlatih di Selangor FC Training Centre bermula minggu hadapan bagi membuat untuk perlawanan Liga Super seterusnya. Nantikan update berkenaan pasukan di laman media sosial Gergasi Merah dari masa ke semasa.

Selangor FC mendoakan kejayaan pasukan Kebangsaan dalam kejohanan Pestabola Merdeka 2023. Semoga berjaya Harimau Malaya!

Demi Kebanggaan

phone