SFC News Selangor FC Dan Brendan Gan Umum Perpisahan

FirstTeam | ForeverRed | BrendanGan | 01 FEB 2024 | FAS

Selangor FC Dan Brendan Gan Umum Perpisahan

news-picture

Kelab Bola Sepak Selangor hari ini dengan duka citanya mengumumkan perpisahan bersama ketua pasukan, Brendan Gan selepas empat musim bersama. Pemain tengah itu tidak akan bersama skuad Gergasi Merah untuk musim 2024.

Sejak tibanya insan yang bernama Brendan Gan di kem Gergasi Merah, laungan ‘Mentaliti Juara’ yang sering dijadikan sebagai slogan kelab seperti dihidupkan semula dengan kehadiran beliau. Menggalas tanggungjawab sebagai ketua pasukan, Brendan merupakan individu yang sentiasa membawa aura positif dan watak pantang menyerah kalah yang diperlukan dalam sesebuah pasukan. Karakter seorang pejuang yang dimilikinya telah banyak membantu rakan sepasukan terutamanya pemain-pemain muda di dalam dan luar padang selama empat musim bersama skuad Gergasi Merah.

Pada 1 Disember 2019, Brendan Gan telah diumumkan secara rasmi sebagai pemain Selangor FC juga merupakan ‘marquee signing’ buat kelab ketika itu. Pengumuman ini telah disambut dengan sorakan gembira para penyokong Merah Kuning kerana hadirnya pemain yang berkaliber serta mempunyai sifat kepimpinan yang tinggi ke dalam pasukan. Tampil dengan nombor jersi baharu dalam kariernya iaitu nombor 88, Brendan telah membuat aksi sulung ketika menentang Sri Pahang FC dalam saingan Liga Super 2022. Beliau bukan sahaja turun sebagai pemain kesebelasan utama, malah beliau juga berjaya mencatat jaringan pertamanya buat kelab pada minit ke-88 serta ‘assist’ pertamanya buat pasukan dalam perlawanan tersebut.

Walau bagaimanapun, nasib tidak menyebelahi sang pejuang ini apabila beliau didiagnos menghidap kanser testis pada Julai 2021. Selepas bertarung serta menjalani sesi pemulihan selama 12 bulan untuk kembali bangkit daripada kanser, pada 19 September 2022, Brendan akhirnya kembali mengetuai Selangor FC dalam perlawanan Liga Super menentang Sarawak United dengan penuh bersemangat. Lebih manis lagi, Brendan cuma memerlukan 7 minit sahaja untuk menjaringkan gol pembukaan sekaligus menyuntik semangat skuad Gergasi Merah untuk menang besar 7-0 pada perlawanan tersebut.

Kebangkitan semula karier Brendan bukan setakat itu sahaja, prestasi baik dan konsisten yang dipamerkan oleh beliau telah berjaya menambat hati Ketua Jurulatih Kebangsaan, Kim Pan Gon yang mula memanggil tonggak tengah itu untuk kembali bersama skuad Harimau Malaya. Brendan telah tampil dalam beberapa perlawanan persahabatan antarabangsa dan menjadi salah seorang pemain yang membantu Malaysia layak ke pusingan akhir Piala Asia 2023. Baru-baru ini, beliau telah diturunkan sebagai kesebelasan utama Malaysia ketika menentang Korea Republik yang menyaksikan Harimau Malaya berjaya mengikat Gergasi Asia itu dengan keputusan 3-3 dalam perlawanan terakhir peringkat Kumpulan E kejohanan tersebut di Qatar. Setakat ini, beliau telah beraksi dalam 35 perlawanan, menjaringkan satu gol dan mencetak tiga bantuan gol untuk skuad kebangsaan.

Selain itu, jersi ‘Away’ SFC musim 2022 telah diinspirasikan daripada kisah perjuangan Brendan melawan kanser yang dihidapinya sehingga pulih. Jersi tersebut membawa kempen tentang kesedaran terhadap penyakit kanser dan antara penekanan utama daripada kempen tersebut adalah untuk memberi mesej harapan kepada semua bahawa kanser boleh diatasi serta dirawati. Ia selaras dengan satu ayat yang sentiasa menjadi pegangan beliau iaitu ‘We can overcome anything!’ dan ayat inilah sentiasa disampaikan serta diucapkan kepada rakan-rakan dan seluruh warga kerja di SFC.

Sepanjang khidmatnya bersama Selangor FC, Brendan telah membuat sebanyak 80 penampilan, di mana 75 daripadanya beliau diturunkan dalam kesebelasan utama dan beliau juga pemilik lilitan ketua pasukan hampir kesemua perlawanan. Beliau juga telah menyumbang 14 jaringan serta 12 bantuan gol sepanjang beraksi sebagai pemain tengah untuk empat musim bersama pasukan. Tidak dilupakan, ‘assist’ ke-12 beliau telah membantu Selangor FC membenam seteru utama, Kedah Darul Aman FC untuk kekal teguh di tempat ke-2 Liga Super 2023 sekaligus mengesahkan kelayakan pasukan ke Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL 2) 2024.

Brendan pernah membuat ciapan di media sosial beliau semasa pengumuman tahun pertama beliau bersama Selangor FC dengan mengatakan “I’m about to write my next exciting chapter as a Red Giant”. Secara jujurnya, banyak kenangan yang menjadi ingatan ramai sepanjang tempoh perjuangannya sebagai pemain Gergasi Merah. Tidak dinafikan juga, keberadaan beliau sahaja telah memberi impak yang positif kepada pasukan. Selain itu, sikap profesionalisme beliau dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai seorang pemain juga telah menjadi contoh kepada oleh para pemain muda di sini. Namun, setiap permulaan pasti ada pengakhirannya.

Selangor FC ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Brendan Gan atas sikap kepimpinan beliau membimbing pasukan serta segala usaha keras beliau dalam mempamerkan aksi cemerlang untuk Gergasi Merah bagi setiap perlawanan. Kami ingin mengucapkan selamat maju jaya kepada Brendan Gan untuk perancangan masa hadapannya. Semoga kita bertemu lagi. Once a Red, #foreverRED.

Demi Kebanggaan!

phone