SFC News Selangor FC Mengumumkan Penerusan Daikin Malaysia Sebagai Rakan Strategik Untuk Musim 2024

Partners | Daikin | 01 FEB 2024 | FAS

Selangor FC Mengumumkan Penerusan Daikin Malaysia Sebagai Rakan Strategik Untuk Musim 2024

news-picture

Hari ini, 1 Februari, Kelab Bola Sepak Selangor, Selangor FC mengumumkan Daikin Malaysia telah meneruskan kolaborasi untuk tahun kedua sebagai Rakan Rasmi Platinum kelab pagi tadi seusai selesai majlis menandatangani dokumen perjanjian kerjasama antara kedua-dua pihak.

Majlis tandatangani dokumen tersebut telah diadakan di kilang pembuatan, Daikin Malaysia Sdn Bhd, Sungai Buloh dan disaksikan oleh Pengerusi Selangor FC, Duli Yang Teramat Mulia Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dan Ketua Pegawai Operasi Daikin Malaysia Sdn Bhd, En. Toshiharu Tsurumaru, serta turut dihadiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC, Dr. Johan Kamal Hamidon dan Pengarah Urusan Daikin Malaysia Sales & Service Sdn Bhd, En. Lawrence Song.

Penerusan tajaan kali ini menyaksikan Daikin Malaysia menyumbang sejumlah wang tunai kepada skuad Selangor FC untuk tahun kedua mereka sebagai rakan strategik kelab bagi menghadapi saingan Liga Malaysia bagi musim 2024 yang bakal bermula pada bulan Mei ini.

Ketua Pegawai Operasi Daikin Malaysia, En.Toshiharu Tsurumaru berkata, "Kami di Daikin Malaysia sangat gembira untuk meneruskan perjalanan ini bersama Selangor FC. Pada tahun ini juga, Daikin Malaysia meraikan ulang tahun yang ke-100, kami berharap pencapaian ini dapat dimanfaatkan dengan kekuatan serta kelebihan yang ada daripada kedua-dua pihak, Selangor FC dan Daikin Malaysia. Visi kami adalah untuk mencipta memori yang tidak dapat dilupakan, memberi inspirasi dan meninggalkan kesan yang berkekalan kepada komuniti bola sepak di Malaysia. Dedikasi Selangor FC terhadap kerja dalam berpasukan, inklusif dan semangat yang tinggi sejajar dengan kami di Daikin, menjadikan kerjasama ini diteruskan," tambah beliau.

Ketua Pegawai Eksekutif SFC, Dr. Johan Kamal Hamidon syukur dengan penerusan kerjasama ini dan berharap ia mampu memberi kelebihan kepada kedua-dua pihak.

"Pertama sekali, saya ingin ucapkan tahniah kepada pihak Daikin kerana mencapai ulang tahun ke-100 mereka. Kami di Selangor FC amat bersyukur serta berbangga kerana Daikin Malaysia mahu terus menaja pasukan untuk musim 2024. Ini merupakan satu pencapaian kelab kerana kita dapat persetujuaan daripada syarikat bertaraf antarabangsa seperti Daikin Malaysia untuk menjadi antara penaja terbesar pasukan untuk dua tahun berturut-turut. Oleh itu, kami akan berusaha untuk membalas kepercayaan yang diberikan dan kami akan terus berkongsi kepakaran antara satu sama lain bagi mencapai matlamat kerjasama ini," menurut beliau.

Turut menzahirkan rasa gembira, Pengerusi Selangor FC, Duli Yang Teramat Mulia Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj sempat berkongsi perasaan Baginda sejurus selesai majlis memeterai perjanjian sebentar tadi.

"Beta amat gembira dengan berita bahawa Daikin Malaysia ingin meneruskan jalinan kerjasama untuk musim 2024 bersama Selangor FC. Dengan itu, beta ingin mengucapkan jutaan terima kasih buat Daikin atas kesudian mereka menaja pasukan untuk dua tahun berturut-turut. Beta berharap perjanjian kerjasama ini dapat menarik minat lebih banyak syarikat lain di Malaysia dan di luar negara untuk turut menjadi rakan strategik Selangor FC pada masa hadapan", ujar Baginda.

Selangor FC ingin mengucapkan tahniah kepada Daikin Malaysia untuk ulang tahun ke-100 mereka. Kami mendoakan yang terbaik untuk Daikin Malaysia. Semoga dengan perkongsian ini, kita akan bersama-sama meraikan pencapaian yang lebih cemerlang untuk tahun 2024 ini.

Demi Kebanggaan!

phone