Berita SFC Prestasi Selangor FC Dalam Separuh Musim

FirstTeam | 17 JUN 2023 | FAS

Prestasi Selangor FC Dalam Separuh Musim

news-picture

Separuh musim kancah Liga Malaysia 2023 telah berlalu. Setakat ini, dua kejohanan telah berlangsung, Liga Super pada bulan Februari dan Piala FA pada bulan April.

Skuad Selangor FC berada di kedudukan tempat kedua saingan Liga Super dengan 31 mata terkumpul daripada 10 kemenangan, satu seri dan 3 kekalahan.

Manakala, Piala FA pula, skuad Merah Kuning telah menewaskan Sri Pahang FC di ‘round 16’ dengan keputusan 4-0. Kemudian, Suku Akhir skuad Gergasi Merah menewaskan Negeri Sembilan 3-1, melayakkan pasukan ke pusingan Separuh Akhir yang akan bermula tidak lama lagi.

Menurut Ketua Jurulatih, Tan Cheng Hoe, beliau tidak mahu pasukan leka dengan kedudukan sekarang tetapi gembira dengan usaha para pemain.

“Bagi saya, berada di tangga kedua liga merupakan pencapaian yang baik untuk pasukan tetapi kedudukan sekarang boleh berubah bila-bila masa. Jadi, saya akan pastikan barisan jurulatih bekerja keras memastikan pemain membuat penambahbaikan dari masa ke semasa,”

“Walau bagaimanapun, kami barisan jurulatih gembira dengan apa yang pasukan peroleh untuk setakat ini. Keputusan menunjukkan pasukan mempamerkan persembahan yang konsisten terutamanya dari segi kerja sama yang pemain tunjukkan dalam perlawanan,”

“Masih ada beberapa perkara kita perlu perbaiki terutamanya ‘transition’ kerana apabila kita hilang bola, kita dibolosi gol, itu yang kita perlu perbaiki di pusingan kedua,”

“Secara keseluruhannya, komitmen daripada pemain menunjukkan sikap disiplin yang tinggi dan kefahaman taktikal yang sangat baik. Keserasian serta keharmonian dalam pasukan cukup baik terutamanya dari segi komunikasi antara mereka,” jelas Tan Cheng Hoe

Untuk makluman, selepas tamat jadual FIFA untuk latihan pasukan Kebangsaan, skuad Gergasi Merah akan mula beraksi dalam pusingan Separuh Akhir Piala FA menentang Johor DT FC pada 26 Jun ini. Kemudian akan sambung saingan Liga Super pusingan kedua menentang Kuching City FC pada 3 Julai. Manakala, siangan Piala Malaysia akan bermula pada 3 Ogos menentang PDRM FC.

Selangor FC yakin pasukan akan terus beraksi dengan cemerlang untuk perlawanan-perlawanan seterusnya dalam pusingan kedua kancah bola sepak Malaysia. Terus berjuang Merah Kuningku!

Demi Kebanggaan!

phone