Berita SFC Pemain Selangor FC Mendapat Sepuluh Pencalonan di Anugerah Bolasepak Kebangsaan

FirstTeam | NationalDuty | 03 NOV 2023 | FAS

Pemain Selangor FC Mendapat Sepuluh Pencalonan di Anugerah Bolasepak Kebangsaan

news-picture

Selangor FC telah tercalon dalam sepuluh pencalonan daripada lapan kategori dalam Anugerah Bolasepak Kebangsaan yang dianjurkan oleh pihak pengurusan Malaysian Football League untuk musim ini.

Setakat ini, skuad utama Gergasi Merah berada di kedudukan tempat kedua saingan Liga Super dengan 52 mata terkumpul daripada 17 kemenangan, satu seri, lima kekalahan serta berbakikan tiga perlawanan sebelum penutup tirai musim 2023.

Senarai pencalonan adalah seperti di bawah:-

Jurulatih Terbaik - Tan Cheng Hoe: Musim pertama rasmi bersama skuad Selangor FC. Setakat ini, beliau telah mencatat 20 kemenangan, dua seri dan lapan kekalahan dalam ketiga-tiga saingan, Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia 2023.

Pemain Terbaik Piala MFL - Izwan Yuslan: Pemain berusia 19 tahun ini merupakan penjaring terbanyak (empat gol) serta pencatat bantuan gol terbanyak (lima 'assist') bagi skuad Selangor B23 musim ini, membantu pasukan berjaya menjadi Juara Kumpulan B dan mengakhiri saingan di tempat keempat.

Pemain Muda Terbaik - Harith Haiqal: Mulakan karier bersama skuad feeder Gergasi Merah pada musim 2020 sebagai pemain pertahanan termuda pasukan kemudian dinaikan pangkat bersama skuad senior pada tahun 2021. Harith membuat penampilan pertamanya bersama skuad senior menentang Penang FC sebagai pemain gantian. Musim ini beliau berjaya membuat penampilan sebagai pemain kesebelasan utama dalam 12 daripada 13 perlawanan. Selain itu, sebagai pemain pertahanan, beliau telah menjaringkan empat jaringan gol, tiga di Liga Super dan satu di Piala Malaysia.

Pemain Import Terbaik - Ayron Del Valle: Pemain import baharu musim 2023 daripada negara Kolumbia. Beliau telah menjaringkan 23 jaringan gol (21 di Liga Super dan dua di Piala Malaysia), menjadikan beliau sebagai penjaring terbanyak Liga Super setakat ini. Ayron juga berjaya membuat lima bantuan gol untuk skuad Gergasi Merah.

Penyerang Terbaik - Faisal Halim: Merupakan penjaring tempatan terbanyak pasukan dengan 11 jaringan gol. Seorang individu yang penting tertamanya dalam menggerakan serta menyudahkan serangan. Beliau juga telah membuat lapan bantuan gol setakat ini bagi membantu rakan sepasukannya menjaringkan gol.

Pemain Tengah Terbaik -

Brendan Gan: Kapten yang sentiasa berada di belakang rakan sepasukannya. Brendan merupakan salah seorang individu yang sangat penting di dalam dan luar padang terutamanya bagi pemain muda. Musim ini, Brendan telah membuat penampilan sebagai pemain kesebelasan utama dalam 25 daripada 27 perlawanan. Beliau juga telah menjaringkan tiga gol dan membuat lapan 'assist' untuk skuad Gergasi Merah.

Mukhairi Ajmal: Sentiasa membuat progres yang baik dari musim ke musim, Mukhairi rasmi merupakan kapten muda skuad Selangor FC musim ini. Beliau juga merupakan pemenang Gol Terbaik dalam Anugerah Bolasepak Kebangsaan musim lalu. Musim ini, Mukhairi telah membuat penampilan sebagai pemain kesebelasan utama dalam 20 daripada 27 perlawanan. Beliau juga telah menjaringkan lima gol dan membuat dua bantuan gol untuk pasukan.

Pemain Pertahanan Terbaik -

Quentin Cheng: Pemain muda pertahanan kanan Gergasi Merah yang memulakan karier bersama Selangor 2 pada musim 2020. Beliau sempat berkelana di kelab lain sebelum berjaya membuat penampilan pertama bersama skuad senior Selangor FC pada tahun 2021. Quentin telah membuat penampilan sebagai pemain kesebelasan utama dalam 21 daripada 24 perlawanan. Beliau juga telah mencatat empat bantuan gol untuk pasukan.

Sharul Nazeem: Merupakan satu-satunya pemain pembangunan Selangor FC yang telah beraksi dalam keempat-empat pasukan, Piala Belia, Piala Presiden, Selangor 2 dan skuad senior Gergasi Merah. Pemain muda pertahanan ini telah membuat penampilan sebagai pemain kesebelasan utama dalam 19 daripada 22 perlawanan. Beliau juga telah menjaringkan dua gol dan membuat satu bantuan gol setakat ini.

Penjaga Gol Terbaik - Samuel Somerville: Mula bersama skuad Selangor FC sejak musim lalu. Beliau berjaya membuat penampilan pertama menentang Sabah FC dalam saingan Liga Super 2022. Samuel telah membuat penampilan sebagai pemain kesebelasan utama dalam 13 daripada 14 perlawanan. Beliau juga telah mencatat empat perlawanan tanpa bolos untuk musim ini.

Menurut Harith Haiqal, beliau menganggap pencalonan ini sebagai satu motivasi untuk dirinya bekerja keras demi karier dan pasukan.

“Alhamdulillah atas pencalonan Pemain Muda Terbaik untuk musim ini. Pertama kali saya dicalonkan setelah beberapa musim beraksi bersama skuad senior Selangor FC. Saya menganggap ini motivasi baru untuk diri saya sendiri. Saya bersyukur dapat tercalon, sudah semestinya ini merupakan hasil daripada usaha kerja keras serta kepercayaan yang diberikan oleh barisan jurulatih dan sokongan daripada pemain-pemain senior yang membantu saya untuk beraksi dengan baik musim ini,” kata Harith Haiqal, calon Pemain Muda Terbaik 2023

Pihak pengurusan Selangor FC mengucapkan tahniah kepada calo-calon yang mewakili kelab dalam Anugerah Bolasepak Kebangsaan.

Demi Kebanggaan!

phone