Berita SFC Selangor FC B23 Melengkapkan Saingan Piala MFL 2023 Di Tempat Ke-4

Youth | U23 | PialaMFL | 02 NOV 2023 | FAS

Selangor FC B23 Melengkapkan Saingan Piala MFL 2023 Di Tempat Ke-4

news-picture

Skuad bawah 23 tahun Selangor FC rasmi menamatkan Liga Juara Piala MFL 2023 di tempat keempat dengan 10 mata terkumpul daripada empat kemenangan, satu seri dan satu kekalahan.

Dalam pusingan Kumpulan Piala MFL, skuad B23 tahun menamatkan saingan sebagai pendahulu Kumpulan B di tempat pertama dengan 22 mata terkumpul daripada enam kemenangan, empat seri dan dua kekalahan. Secara keseluruhan, skuad B23 Gergasi Merah berjaya mengumpul 32 mata daripada sepuluh kemenangan, empat seri dan lima kekalahan.

Abdi Hassan, ketua jurulatih skuad B23 Selangor FC, menyatakan banyak yang dapat dipelajari daripada musim pertama beliau mengendali pasukan untuk di bawa ke tahun hadapan.

"Apa yang saya lihat, kita mempunyai perkembangan yang baik dari permulaan musim sehingga perlawanan terakhir baru-baru ini. Selangor telah memberi peluang kepada pemain-pemain daripada pelbagai peringkat umur untuk beraksi dalam saingan Piala MFL 2023. Umur paling muda adalah 18 tahun dan purata umur pemain untuk pasukan ini adalah 19.6 tahun. Walaupun tiga perlawanan terakhir kami menggunakan kebanyakan pemain dari pasukan utama, mereka juga berusia di bawah 23 tahun. Secara keseluruhan, ia adalah perkembangan yang sangat baik dari segi pembangunan terutamanya untuk program jangka masa panjang,"

"Dalam masa yang sama, sudah semestinya kita mahukan keputusan yang lebih baik daripada apa yang diperoleh, ini yang kita harus ambil pengajaran dan belajar daripada musim ini. Setakat ini, saya gembira dengan kemajuan yang kami capai dari awal hingga sekarang terutamanya dengan pemain muda yang terdedah kepada banyak permainan yang lebih matang serta lebih kearah fizikal. Pengalaman berharga ini mereka boleh gunakan di musim hadapan," kata Abdi.

Sepanjang Piala MFL 2023 berlangsung, Muhammad, pemain berusia 18 tahun pasukan telah membuat penampilan terbanyak dengan 1,626 minit. Kemudian, Aiman Hakimi telah beraksi dalam 1,443 minit, Izrin Ibrahim 1,371 minit, Haykal Danish 1,197 minit dan Faiz Amer, ketua pasukan sebanyak 1,187 minit, menjadikan mereka lima pemain terbanyak melakukan penampilan musim ini.

Mengikut data terkumpul, skuad B23 telah menjaringkan 28 gol daripada 19 perlawanan. Izwan Yuslan menjadi penjaring terbanyak pasukan dengan empat jaringan gol. Diikuti, Danial Asri, Rauf Salifu, Izrin Ibrahim dan Haykal Danish dengan tiga jaringan gol. Kemudian, Adim Muzahhir dan Syahir Bashah dengan dua jaringan gol. Manakala, Devessharaja Sathiamoorthy, Harith Haiqal, Faiz Amer, Khairi Suffian, Daniel Edzuan, Muhammad, Adam Haikal dan Amirul Izwan telah menjaringkan satu gol untuk skuad Gergasi Merah B23.

Selain itu, menurut data statistik, Izwan Yuslan telah melakukan lima ‘assist’, menjadikan beliau pencatat bantuan gol terbanyak pasukan. Diikuti, Adam Haikal, pemain tengah pasukan berjaya membuat empat bantuan gol. Kemudian, Haykal Danish tiga ‘assist’ dan diikuti Muhammad ddengan dua ‘assist’. Seterusnya, Ruventhiran, Rauf Salifu, Devessharaja Sathiamoorthy, Raimi Shuhaimi, Adim Muzahhir Izrin Ibrahim, Rahman Daud dan Aiman Hakimi telah menyumbang satu ‘assist’ dalam Piala MFL 2023.

Dalam masa yang sama, skuad kendalian Abdi Hassan ini juga telah mencatat 'Clean Sheet' dalam enam perlawanan dan purata jumlah bolos adalah hanya satu jaringan sahaja.

Pihak Pengurusan Selangor FC mengucapkan syabas kepada skuad Selangor B23 atas pencapaian dalam saingan Piala MFL 2023 musim ini. Semoga pasukan dapat belajar daripada pengalaman yang mereka peroleh tahun ini dan kekal bersedia untuk menghadapi musim hadapan.

Demi Kebanggaan!

phone