SFC News Terima Kasih #SFCClassOf23

FirstTeam | LigaSuper2024 | 26 DEC 2023 | FAS

Terima Kasih #SFCClassOf23

news-picture

Selangor FC atau ‘Red Giants’ menutup tirai kancah liga bola sepak Malaysia musim 2023 dengan satu pencapaian yang besar iaitu layak ke pentas Asia 2024/2025. Dalam lima tahun di bawah naungan DYTM Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj selaku Presiden kelab, progres serta pencapaian kem Gergasi Merah bertambah baik dari musim ke musim.

Musim ini, skuad Selangor FC masih berjaya beraksi dalam tiga pertandingan tahun ini; Liga Super Malaysia, Piala FA dan Piala Malaysia. Selangor FC menamatkan saingan Liga Super di tempat kedua selepas mengumpul 61 mata daripada 26 perlawanan (20 kemenangan, 1 seri, 5 kekalahan), sekali gus mencapai sasaran terbesar pasukan iaitu menempah slot ke saingan AFC Champions League 2 tahun 2024/2025. Dalam Piala FA pula, skuad kendalian Tan Cheng Hoe ini berjaya menewaskan Sri Pahang FC 4-0 di Pusingan 16, menundukkan Negeri Sembilan FC di Suku Akhir dengan keputusan 3-1 sebelum akur di peringkat Separuh Akhir. Manakala untuk saingan Piala Malaysia, ‘Red Giants’ berjaya menewaskan PDRM FC dengan agregat 6-2 di pusingan 16 sebelum dikecewakan oleh Terengganu FC di pusingan Suku Akhir dengan agregat 1-3.

Secara keseluruhannya, pasukan utama bermain dalam 33 perlawanan sepanjang musim, menang dalam 23 perlawanan, seri 2 perlawanan dan tewas dalam 8 perlawanan. Barisan pertahanan juga berjaya mencatatkan 12 ‘clean sheets’; 11 dalam Liga Super dan satu dalam Piala FA.

Selain itu, pasukan berjaya menjaringkan 86 gol kompetitif musim 2023 untuk purata 2.6 gol setiap perlawanan, dan dibolosi sebanyak 33. Kemenangan berturut-turut terpanjang yang berjaya dicatatkan untuk musim ini adalah sebanyak tujuh perlawanan berturut, manakala rekod kekalahan terpanjang (tanpa menang) musim ini adalah untuk dua perlawanan sahaja.

Antara penjaring yang telah menyumbang 86 gol tersebut adalah Penjaring Terbanyak Liga Super 2023, Ayron Del Valle dengan 25 jaringan gol; Penjaring Tempatan Terbanyak Liga Super, Faisal Halim 13 gol; Yohandry Orozco 11 gol; Boakye-Yiadom dan Mukhairi Ajmal enam gol; Brendan Gan dan Noor Al-Rawabdeh lima gol; Harith Haiqal empat gol; Sharul Nazeem tiga gol, Izwan Yuslan dan Rauf Salifu dua gol; dan satu gol daripada Haiqal Lau, Danial Asri, Safuwan Baharudin dan Yazan Al-Arab.

Yohandry Orozco mendahului carta bantuan gol dengan mengumpul 12 bantuan, diikuti oleh Faisal Halim 11, Brendan Gan 10, Ayron Del Valle enam, Mukhairi Ajmal dan Quentin Cheng masing-masing empat, Noor Al-Rawabdeh dan Boakye-Yiadom mengumpul tiga, Alexander Agyarkwa dan Norhakim Hassan dua serta satu daripada Haiqal Lau, Fazly Mazlan, Hein Htet Aung, Yazan Al-Arab dan Zikri Khalili.

Dalam masa yang sama, antara angka menarik lain musim ini adalah kedua-dua penjaga gol Selangor FC, berjaya menamatkan 12 perlawanan tanpa bolos menerusi tujuh perlawanan Liga Super daripada Samuel Somerville dan lima daripada Khairulazhan Khalid (empat Liga Super dan satu Piala FA).

Dari segi minit permainan, musim ini Ketua Jurulatih Tan Cheng Hoe telah memberi kepercayaan kepada hampir semua pemain senior dan muda dalam pasukan. Seramai 14 pemain telah mendapat minit permainan lebih daripada 1,000 minit iaitu, Faisal Halim 2,409 minit, Ayron Del Valle 2,371 minit, Quentin Cheng 2,347, Sharul Nazeem 2,289 minit, Noor Al-Rawabdeh 2,286, Yohandry Orozco 2,219, Fazly Mazlan 2,017 minit, Safuwan Baharudin 2,008 minit, Brendan Gan 2,003 minit, Mukhairi Ajmal 1,827 minit, Khairulazhan Khalid 1,639 minit, Samuel Somerville 1,561 minit, Alexander Agyarkwa 1,513 minit dan Harith Haiqal 1,081 minit.

Selain itu, musim ini empat pemain muda telah diberi kepercayaan untuk membuat penampilan pertama mereka iaitu Rauf Salifu, Ruventhiran, Faiz Amer dan Muhammad. Dalam masa yang sama, persembahan baik pemain berusia 19 tahun, Izwan Yuslan, telah meraih perhatian dan mendapat panggilan Harimau Malaya buat kali pertama musim ini.

Antara pencapaian peribadi musim ini adalah Izwan Yuslan telah tersenarai dalam kategori Pemain Terbaik Piala MFL dan Harith Haiqal, pemain pertahanan muda yang cukup menyerlah musim ini dalam kancah Bola Sepak Malaysia telah dicalonkan dalam kategori Pemain Muda Terbaik dalam Anugerah Bolasepak Kebangsaan 2023 baru-baru ini.

Antara pencapaian individu yang lain, Faisal Halim berjaya mempertahankan kedudukan sebagai antara Penjaring Terbanyak Tempatan dalam saingan Liga Super dengan 12 jaringan gol biarpun tidak dapat beraksi bersama pasukan dalam beberapa perlawanan. Begitu juga Ayron Del Valle, beliau telah menempah nama sebagai Penjaring Terbanyak Liga Super sejak minggu perlawanan ke-20 walaupun baru semusim di sini.

Secara keseluruhannya, peningkatan musim ini dapat dilihat membantu pasukan sehingga mencapai sasaran besar penyokong dan kelab untuk beraksi di pentas Asia musim hadapan. Semoga usaha untuk menjadi pasukan yang lebih maju dan berdaya saing akan berterusan dalam kem Gergasi Merah dari masa ke semasa.

Demi Kebanggaan!

phone